Ayah, ibu pesan jangan berpisah walau apa pun terjadi

0
1

Najamuddin Mohd Nor

“AYAH dan ibu pesan untuk jaga adik baik-baik dan walau apa pun yang terjadi, kami jangan berpisah,” kata Nazurah Nabilah Benyajeed.

Dia yang berusia 19 tahun kini menggalas tanggungjawab sebagai ‘ibu bapa’ kepada tujuh orang adiknya berikutan kematian kedua ibu bapa mereka akibat Covid-19 baru-baru ini.

Menurut Nazurah, dia sedia memikul tanggungjawab itu dan reda atas pemergian insan tersayang.

“Saya akan jaga adik sebaiknya, akan ingat pesanan ayah dan ibu.

“Saya dan adik-adik menerima ujian ini, setiap yang hidup pasti akan mati. Cumanya kita kena kuat dan tabah untuk meneruskan kehidupan ini, namun kesedihan itu tetap ada,” katanya yang kini tinggal bersama ibu saudaranya di rumah berkenaan.

Anak sulung, Nazurah Nabilah Benyajeed dan adiknya.

Nazurah yang juga pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Politeknik Mersing, Johor itu kelihatan tenang ketika ditemui dan menegaskan mahukan kesemua adiknya meneruskan pembelajaran demi memastikan masa depan yang lebih terjamin.

“Saya mahu adik ke sekolah dan berjaya dalam pelajaran. Walaupun dugaan kami besar, saya tidak mahu masa depan mereka tidak menentu dan tercicir dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Beruntung, hari ini.

Terdahulu, dia dan tujuh adiknya dikunjungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad untuk menyampaikan sumbangan dan bantuan termasuk pendidikan dan sara hidup.

Lapan adik beradik yang kehilangan ibu bapa disebabkan pandemik Covid-19 di Bukit Beruntung hari ini.

Berkongsi kisah sedih pemergian bapanya, Benyajeed Bernie, 45, pada 16 Julai lalu diikuti ibu, Noraini Ibrahim, 43, dua hari selepas itu, Nazurah mengakui bapanya mempunyai sejarah penyakit menghidap angin ahmar 10 tahun lalu, manakala ibunya mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung.

“Ibu dan bapa saya belum disuntik vaksin Covid-19 ketika mereka disahkan positif virus. Ibu positif dulu dan bapa kemudiannya menjadi kontak rapat,” katanya.

Menurutnya, dia dan semua adiknya turut disahkan positif dan kini sudah tamat menjalani kuarantin diri serta disahkan sembuh sepenuhnya.

Nazurah juga berterima kasih kepada kerajaan, terutama Ismail Sabri, Dr Adham dan Noraini yang sudi membantu mereka dan berjanji bantuan yang disalurkan pelbagai pihak akan digunakan sebaiknya untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Selain bantuan wang tunai, bakul makanan dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i), Nazurah juga ditawarkan pertukaran tempat pengajian di Mersing, Johor ke Behrang bagi membolehkan dia tinggal bersama adiknya yang lain.

Nazurah juga memaklumkan rancangan masa depannya untuk menetap di situ sehingga pengajiannya di Politeknik Sultan Azlan Shah di Behrang taman dan belum merancang untuk tinggal bersama neneknya di Pahang.

“Memang ada yang cakap kami akan tinggal bersama nenek selepas ini, tetapi buat masa ini belum lagi sebab mak cik mahu jaga kami di sini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here