KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin Perikatan Nasional (PN) menghentikan penyalahgunaan kuasa untuk menekan Ahli Parlimen.
Presiden PKR itu berkata, beliau dimaklumkan oleh beberapa Ahli Parlimen bahawa pemerintah turut menggunakan rasuah dan ugutan untuk menyokong kerajaan dengan ganjaran kedudukan, perlindungan dari pendakwaan sebagai habuan.
Katanya, kerajaan perlu menerima hakikat secara bermaruah bahawa dukungan terhadap mereka semakin berkurangan di Parlimen.
“Saya terpanggil untuk menyatakan pendirian berhubung pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Syed Saddiq yang berbentuk ancaman politik di mana saya dan rakan-rakan lain turut bangkitkan mutakhir ini.
“Untuk memungkinkan negara hukum (rule of law), undang-undang mesti dikuatkuasakan secara objektif. Bila mana politisi atau individu-individu yang rapat dengan koridor kuasa boleh bebas tanpa hukuman.
“… manakala pemimpin-pemimpin pembangkang serta pendukung mereka diajukan dengan pelbagai pendakwaan terpilih, maka ternyata aspek penegakan hukum di negara ini telah rosak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anwar berkata, keadaan itu terus merobek kepercayaan dan keyakinan pelabur terhadap Malaysia dalam keadaan negara hari ini yang kelam dan haru biru dengan ketidakabsahan pemerintah.
“Ia menggambarkan bahawa betapa badan atau jabatan penguatkuasaan hanya mengikut telunjuk politik, dan ini perkembangan yang tidak baik buat negara.
“Kerana ia secara tidak langsung memberi isyarat kepada bakal-bakal penjenayah untuk mencipta hubungan yang lebih dekat dengan orang-orang politik yang berkuasa bagi mendapat perlindungan dari pendakwaan,” katanya.
Mengulas lanjur, Anwar berkata, setiap kali sidang Parlimen semakin mendekat, kerajaan akan menggunakan atau memperalat apa saja yang ada untuk membuli Ahli-ahli Parlimen.
Katanya, tindakan ini berkemungkinan didorong rasa gentar sekiranya undi tidak percaya dilangsungkan dan usaha-usaha jelek berkenaan berterusan tanpa henti selagi kerajaan masih lemah dan tidak punya majoriti yang cukup di Parlimen.
“Masa dan ketika tatkala YB Syed Saddiq didakwa ini sangat membingungkan dan menampakkan wujudnya salahguna kuasa. Saya menggesa agar siasatan mesti dijalankan dengan telus dan profesional.
“Saya turut mahu beritahu pemimpin-pemimpin PN termasuk Perdana Menteri untuk hentikan salahguna kuasa serta terima hakikat secara bermaruah bahawa dukungan terhadap mereka semakin berkurangan di Parlimen,” katanya.
Pagi tadi, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Beliau turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua di mahkamah sama iaitu menyalahgunakan wang sumbangan berjumlah RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). – Malaysiapost

