4 polis berpesta dalam balai digantung tugas

0
1

KETUA Polis Balai dan tiga anggota yang berpesta di dalam sebuah balai di daerah Kajang, Selangor, digantung tugas serta-merta semalam.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed yang memaklumkan semua mereka ditukarkan serta-merta ke Bahagian Pentadbiran, Ibu Pejabat Polie Daerah (IPD) Kajang sehingga siasatan selesai.

Katanya, arahan pertukaran serta-merta itu dibuat selepas mereka dikesan melakukan kesalahan berdasarkan serbuan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, kelmarin.

“Saya mengesahkan mereka ditukarkan serta-merta bagi membolehkan siasatan dibuat dan Polis Selangor mengarahkan seorang anggota berpangkat Sub-Inspektor mengambil alih tugas sebagai Ketua Polis balai, di balai polis berkenaan.

“Ini bagi membolehkan segala urusan harian di balai terbabit dengan masyarakat dan penduduk di kawasan berkenaan berjalan lancar,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Arjunaidi berkata, siasatan lanjut kes itu dijalankan Polis Daerah Kajang dan JIPS Bukit Aman.

“Kita masih menunggu laporan hasil siasatan lengkap segala kesalahan yang berlaku dalam kes itu,” katanya.

Kelmarin, seorang Ketua Polis Balai bersama tiga anggotanya serta empat wanita orang awam ditahan hasil serbuan Bukit Aman, ketika mereka berhibur dalam bilik khas di balai polis diketuainya.

Serbuan dijalankan pasukan daripada Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, pada jam 6 petang, sebaik menerima maklumat dari orang awam.

Ketika serbuan terhadap balai berkenaan, sebahagian daripada mereka dipercayai sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum dalam sebuah bilik di tingkat dua balai berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here