PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat terutama petugas barisan hadapan supaya tidak mengalah dengan ujian dan cabaran sedang dihadapi.
Beliau berkata, sudah menjadi lumrah dalam kehidupan, manusia akan berdepan pelbagai dugaan termasuk situasi yang dihadapi pada ketika ini.
“Tetapkan semangat dan jangan sesekali mengalah dengan ujian dan cabaran sedang dihadapi,” katanya dalam hantaran Facebook.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, komitmen petugas barisan hadapan berkhidmat ketika sambutan Aidiladha semalam merupakan satu pengorbanan yang amat dihargai.
“Menterjemahkan erti sebuah pengorbanan itu, dengan pelbagai pengertian. Pengorbanan para barisan hadapan negara amat dihargai dan disanjungi.
“Bagi mereka tetap berkhidmat pada sambutan Hari Raya Aidiladha demi bakti kepada pertiwi. Para ‘frontliners’ kesihatan, keselamatan, pengangkutan, penghantaran dan ramai lagi.
“Petugas pasar raya, restoran makanan segera dan lain-lain juga ‘frontliners’ kita,” katanya.
Beliau berkata, golongan itu rela mengambil risiko dengan kes jangkitan Covid-19 yang sangat tinggi ketika ini, demi melaksanakan amanah dan tanggungjawab demi rakyat.
“Maka demikian semangat sambutan Hari Raya Aidiladha berkait dengan mereka jua. Iaitu sebuah pengorbanan demi kebaikan dan ketakwaaan kepada Yang Maha Esa.
“Syabas dan terima kasih rakyat Malaysia ucapkan kepada anda semua. Begitu juga barisan hadapan bukan muslim pengorbanan anda sentiasa diingati.
“Tetapkan semangat dan jangan sesekali mengalah dengan ujian dan cabaran sedang dihadapi.
“Pengorbanan adalah sebahagian dari kehidupan. Ia adalah sepatutnya. Ini bukan sesuatu yang perlu dikesalkan. Ia sesuatu yang dicita-citakan,” katanya. – Malaysiapost

