Tak dengki, cuma beri teguran sebagai iktibar – Nadir Al-Nuri

0
1

ISU misi kemanusiaan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew di Gaza yang baru mulai reda selepas permohonan maaf oleh penyanyi rap, Caprice, kini hangat diperkatakan semula.

Spekulasi itu dibangkitkan kembali dengan teguran dari Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman atau lebih dikenali Nadir Al-Nuri melalui Telegramnya semalam.

Nadir berkata, teguran kepada Ebit dan pasukannya bukan kerana dengki, iri hati atau memperlekehkan perjuangan mereka cuma untuk dijadikan iktibar dan pendoman buat semua.

Luahnya, dia antara individu paling gembira apabila menerima perkhabaran mengenai rancangan Ebit untuk menyalurkan bantuan di Gaza.

Beliau berkata, pihak Ebit juga telah menghubunginya bagi mengetahui cara menghantar bantuan ke Gaza lantas dengan segera, dia menyediakan kertas kerja namun tiada sebarang maklum balas.

“Semasa pasukan EL (Ebit) di Cairo, saya cuba beberapa kali untuk berhubung dengan pasukan EL untuk mendapatkan perkhabaran tetapi tiada sebarang maklum balas.

“Sehingga rakyat Malaysia dan media menjadi risau tentang kehilangan ‘Hero Malaya’. Selama sebulan tim EL terus sepi, timbul pelbagai spekulasi keselamatan terancam dan sebagainya, walaupun hakikat ia jauh dari kebenaran.

“Bagaimanapun, rakan-rakan di Cairo memaklumkan pasukan EL masih di bilik hotel, boleh pergi bersiar-siar di kawasan pelancongan Husein dan melawat piramid (seperti post oleh pembantu peribadinya) sambil menunggu usaha agar diberi kebenaran memasuki ke Gaza,” dakwanya.

Dalam pada itu, berdasarkan pengalaman sendiri, Nadir turut terkejut apabila pasukan Ebit membeli barangan bantuan sebanyak empat lori di Mesir, sedangkan lebih baik dibeli di Gaza sekali gus dapat membantu peniaga di sana.

“Sebelum ini saya pernah memaklumkan kepada media cara terbaik untuk beri bantuan ke Gaza adalah dengan pembelian barangan keperluan di pasaran tempatan kerana terdapat banyak kebaikan boleh dimanfaatkan terus kepada masyarakat yang memerlukan.

“Telah banyak pengalaman NGO seluruh dunia cuba untuk memasuki Gaza dengan membawa barangan keperluan hingga tersadai dan terbiar di sempadan dalam bentuk perubatan dan makanan sehingga tamat tempoh dan tidak boleh digunakan.

“Akhirnya berlaku pembaziran amat dahsyat. Perkara ini menjadi pengajaran kepada semua NGO bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia,” katanya.

Bagaimanapun, Nadir berkata, teguran “manjanya” berkaitan bantuan yang ingin disampaikan ke Gaza itu disalah ertikan dan ditafsir oleh sebahagian pihak.

“Persoalan lain pula timbul di mata masyarakat bagaimana barang-barang yang sudah dibeli di Cairo tersebut? Adakah bantuan ini sudah berjaya masuk?

“Setahu saya ia masih lagi tersadai di Mesir beserta bantuan lain yang tidak dibenarkan masuk lagi pun. Bukankah ia satu pembaziran?,” soalnya.

Justeru, beliau menyeru pihak pasukan Ebit untuk tampil memberi pencerahan dan penjelasan supaya tidak timbul bibit-bibit fitnah lain.

“Dengan mem’block’ atau membuang komen-komen pertanyaan tersebut di media sosial kalian tidak dapat menyelesaikan masalah pokok ini kerana tujuan asal misi adalah untuk membawa masuk bantuan tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau mendakwa tindakan pasukan Ebit memasuki Gaza dengan membayar kepada sebuah syarikat dengan harga tinggi memberi kesan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here