Kerajaan perlu akui situasi Covid-19 negara kini kritikal – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan perlu mengaku bahawa negara kini sedang berdepan situasi Covid-19 yang kritikal.

Beliau berkata, penafian berkenaan tidak akan memperbaiki keadaan yang kritikal ketika ini dan ia juga satu jenayah dan dosa kerana membabitkan keselamatan nyawa rakyat.

Katanya, antara tanda kerajaan gagal bila mana negara tidak lagi mampu memberi rawatan dan perhatian kesihatan yang sewajarnya kepada rakyat sendiri.

“Gambar yang mendakwa wad Covid HUKM sudah penuh menjadi sangat tular semalam. Adakah ini benar?

“Sekiranya benar, apa langkah-langkah kerajaan untuk mengatasi masalah serious ini?,” katanya dalam hantaran Facebook.

Najib berkata, beliau difahamkan kekurangan staf perubatan ketika ini menjadi penghalang terbesar untuk meningkatkan kapasiti rawatan hospital kerajaan.

“Adakah ianya sudah tiba masa untuk meminta bantuan staf perubatan dari negara-negara lain bagi tempoh sementara terutamanya dari negara yang sudah pulih dari Covid?

“Bagaimana dengan staff-staff perubatan yang sudah bersara? Adakah terdapat peningkatan usaha untuk mengambil balik staff untuk berkhidmat semula secara sementara?,” katanya.

Dalam pada itu, Najib mengingatkan kerajaan untuk menyelesaikan segera isu doktor kontrak kerana tindakan ‘membisu’ hanya akan menambahkan kemarahan golongan itu.

“Sekiranya kerajaan tidak mampu mengambil keseluruhan doktor-doktor kontrak sebagai permanent staff, sekurang-kurangnya tawarlah bonus yang besar pada akhir kontrak.

“Jangan kedekut pada doktor dan keperluan kesihatan pada ketika Malaysia dalam krisis kesihatan yang amat besar ini. Ini bukan masa untuk kamu buang masa runding-runding.

“Ianya bukan wang bapa kamu. Bukan kerajaan hari ini yang kumpul dulu pun,” katanya.

Najib berkata, dalam situasi kritikal Covid-19 ketika ini, perkhidmatan ambulans termasuk memasang alat-alat bantuan pernafasan kepada kereta dan van kerajaan amat diperlukan.

Beliau berkata, kenderaaan berkenaan boleh dijadikan ambulans sementara sekiranya ambulans baru lambat sampai.

“Jangan pandang sahaja apabila rakyat kita sakit atau menafi keadaan sudah menjadi paling kritikal. Sebab kita sudah cecah paras 133,000 kes Covid aktif dan nombor ini sedang meningkat 5,000 ke 7,000 setiap hari sejak sebulan lalu,” katanya.

Semalam, Malaysia mencatatkan kes jangkitan baharu Covid-19 kembali melepasi angka 10,000 dengan 12,366 kes direkodkan hari ini, sekali gus menjadikan kes kumulatif sebanyak 939,899.

Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding 10,972 kes baharu kelmarin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here