MALAYSIA kini berada pada fasa Monsun Barat Daya sehingga September 2021, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menerusi ciapan di Twitternya hari ini, beliau berkata sepanjang tempoh itu taburan hujan akan berkurang dan pembakaran terbuka berpotensi menyebabkan jerebu.
“Diingatkan untuk tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan yang mudah dan sering terbakar.
“Data Jabatan Alam (JAS) menunjukkan banyak kes pembakaran terbuka berlaku di kawasan pelupusan sampah sarap, kebun tanaman, tapak pembinaan dan industri,” katanya.
Sebelum Jabatan Meteorologi menerusi kenyataan memaklumkan semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera lebih stabil.
Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh berkenaan.
Sehubungan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak daripada bilangan hari hujan.
Keadaan itu menyebabkan taburan hujan yang rendah.
Bagaimanapun, hujan lebat serta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi. – Malaysiapost

