Jawatankuasa pilihan khas kewangan boleh kenalpasti isu rakyat susah

0
2

JAWATANKUASA pilihan khas bagi peruntukan kewangan perlu disediakan ketika sidang Parlimen bagi mengenal pasti isu yang memberi kesan kepada rakyat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis boleh menubuhkan jawatankuasa pilihan khas itu.

Katanya, ia bagi membolehkan lebih banyak penyelidik dan penganalisis profesional digajikan untuk tujuan mengenal pasti isu kewangan yang melibatkan rakyat ketika ini.

Menurutnya, pelbagai pihak masih meragui impak yang dapat dicapai hasil daripada persidangan khas Parlimen yang bakal diadakan lima hari bermula 26 Julai ini.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, di sebalik kekacauan politik ketika ini, tiada cara lain boleh dilakukan kerajaan bagi memulihkan kestabilan selain melibatkan semua pihak berkepentingan melalui Parlimen.

“Terdapat 88 Ahli Parlimen yang bukan ahli jawatankuasa Parlimen. Kita harus menggunakan mereka ini bagi membolehkan semua pihak terlibat dengan baik dalam menangani Covid-19 di peringkat kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Azalina berkata, Perdana Menteri boleh menubuhkan segera lebih banyak jawatankuasa khas yang lain ketika persidangan khas Parlimen yang bermula Isnin ini.

Beliau menegaskan kerajaan boleh melaksanakan langkah tersebut melalui Usul Perkara Penting dan Kepentingan Umum Mendesak di bawah Peraturan 18 Mesyuarat Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, peraturan itu memperuntukkan kuasa bagi menubuhkan lebih banyak jawatankuasa Parlimen sama ada dalam bentuk jawatankuasa pilihan khas secara ad-hoc atau jawatankuasa pilihan khas bagi tujuan pertimbangan perundangan dan memantau kementerian.

“Artikel 43 (3) Perlembagaan Persekutuan secara tegas menyatakan ‘Kabinet bertanggung jawab secara kolektif kepada Parlimen”.

“Ini adalah prinsip asas perlembagaan dalam semua sistem Parlimen Westminster,” katanya.

Mesyuarat Khas Penggal ketiga Parlimen ke-14 akan diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat manakala Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here