Penerbit filem ‘Babi’ mengaku tidak bersalah

0
1

SEORANG penerbit filem mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas tuduhan menerbitkan filem pendek bertajuk ‘Babi’ tanpa lesen pada 18 November 2020.

Toh Han Boon, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di bilik prosiding.

Menurut fakta kes, Han Boon didakwa mengambil bahagian dalam aktiviti mengeluarkan filem bertajuk ‘Babi’ dan mempamerkan poster filem itu tanpa lesen sah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Dia dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 6 petang 18 November tahun lalu di Mutiara Damansara, lapor Malaysia Gazette.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 22 (1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244 Pindaan 2013) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(1) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahannya tertuduh boleh didenda tidak lebih RM50,000, hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali.

Siasatan kes dikendalikan Inspektor Jagachandran Murugesen dan pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Zamriah Zarifah Aris.

Muhammad Iskandar membenarkan Han Boon diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Oktober ini sebagai tarikh serah dokumen dan sebutan kes.

Filem ‘Babi’ yang ditayangkan di Taiwan berkisarkan kejadian sebenar keganasan dan rusuhan kaum di sebuah sekolah menengah terletak di selatan Malaysia pada 2000.

November tahun lalu, pelbagai pihak membuat laporan polis berkenaan poster filem tersebut yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here