SERAMAI 49 lelaki dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan menunaikan solat sunat Aidiladha di luar perkarangan Surau Taman Pelangi di Juru, Pulau Pinang, semalam, direman bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Hasliza Razak, lapor Harian Metro.
Hasliza membenarkan kesemua suspek yang terdiri 48 warga Bangladesh berusia 20 hingga 43 tahun direman selama empat hari bermula hari ini hingga 24 Julai.
Manakala, seorang warga tempatan berusia 64 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 23 Julai bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.
Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Terdahulu, kesemua suspek yang berpakaian lokap dibawa ke mahkamah , di sini pada 10.10 pagi.
Semalam, polis melancarkan gerakan mengesan kira-kira 200 warga asing selepas dipercayai melanggar SOP dengan menunaikan solat di luar perkarangan surau terbabit hingga ia tular di media sosial. – Malaysiapost

