MB: Gagal patuh SOP punca kes Covid-19 Kedah naik mendadak

0
1
Muhammad Sanusi Md Nor

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa kes Covid-19 di negeri itu yang mencecah 800 kes hari ini disebabkan kegagalan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata peningkatan itu telah diramal memandangkan ujian saringan wabak yang dipertingkatkan namun 480 daripada kes baharu itu akibat kontak rapat.

“Lonjakan kes ini akibat kontak rapat baharu, bererti SOP tidak dipatuhi,” katanya dipetik FMT, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi meminta kadar pemberian vaksin di Kedah dipertingkatkan memandangkan kadar vaksinasi di negeri itu masih rendah iaitu kira-kira 15 peratus daripada 1.76 juta populasi disasarkan (daripada keseluruhan 2 juta).

Menurutnya, kadar jangkitan melibatkan mereka yang telah divaksinasi menunjukkan kebanyakannya dalam kategori satu dan dua, dan sama ada tidak bergejala atau bergejala ringan.

Katanya, ini menunjukkan vaksin mampu mengurangkan kadar kematian.

“Kita perlu memfokuskan terhadap merawat tahap jangkitan yang lebih teruk, manakala kuarantin kendiri bagi mereka yang berada di tahap satu dan dua. Semua negeri termasuk Kedah melihat peningkatan kes akibat pengesanan dan saringan kontak rapat.

“Kadar positif di Kedah tidak melebihi 10 peratus, kita kini antara 7 peratus hingga 8.5 peratus. Saya percaya sebaik imuniti kelompok dicapai menerusi vaksinasi, kes serius akan jauh berkurangan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here