KJ, Tengku Zafrul akan dipanggil dalam prosiding perolehan vaksin – PAC

0
3

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil beberapa individu lagi pada prosiding berhubung isu perolehan vaksin Covid-19 dan penggunaannya terhadap rakyat Malaysia yang disambung semula Selasa ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz antara individu yang akan dipanggil jawatankuasa berkenaan.

Katanya, Khairy akan dipanggil semula pada 27 Julai manakala Tengku Zafrul akan dipanggil pada 28 Julai. Selain itu, katanya, PAC juga akan mendengar penjelasan daripada Akauntan Negara, Datuk Dr Yacob Mustafa hari sama.

“PAC sebelum ini, memulakan prosiding berhubung perkara itu dengan mendengar penjelasan daripada Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada 5 Januari lalu.

“Mengambil kira perkembangan terbaru mengenai perolehan vaksin Covid-19 sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa selama enam bulan, PAC berpendapat kerajaan perlu memberikan penjelasan lebih terperinci kepada jawatankuasa ini memandangkan senarionya sudah berubah berbanding Januari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kah Woh berkata, prosiding berhubung isu itu menggunakan punca kuasa daripada Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang membenarkan PAC memeriksa apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh jawatankuasa itu patut diperiksa.

PAC komited untuk menyiapkan laporan mengenai isu perolehan vaksin Covid-19 dan penggunaannya terhadap rakyat Malaysia sebelum dibentang ke Parlimen selewat-lewatnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat sidang Dewan Rakyat yang dijadual Oktober hingga Disember.

Januari lalu, Kah Woh memaklumkan secara keseluruhannya PAC Parlimen berpuas hati dengan keterangan dan penjelasan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu perolehan dan penggunaan vaksin Covid-19.

Prosiding yang berlangsung pada Januari itu dihadiri Khairy, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah. – Malaysiapost

Foto Kredit: IG/Tengku Zafrul

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here