PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa sedang berlangsung kempen terhadap umat Islam supaya meninggalkan politik, atau menyebarkan pandangan politik tanpa ilmu dan hidayah dalam pemikiran umat.
Pada masa sama, katanya, pihak musuh aktif berpolitik bagi merampas kuasa dalam tanah air umat Islam dan terus melaksanakan teori yang menempah kegagalan serta kemusnahan yang menyesatkan bersama mereka.
Katanya, ia adalah perkara yang paling membahayakan, apabila ajaran salah dan sesat itu mempengaruhi generasi baharu yang semakin jauh daripada agama.
“Pada masa sama, mereka sangat tertarik kepada media yang dikuasai oleh musuh Islam, khususnya media sosial tanpa sempadan agama dan tanpa lesen kebenaran.
“Maka, usaha untuk mendidik generasi baru kembali kepada agama Islam adalah benteng pertahanan jati diri yang paling kukuh demi keselamatan di dunia sehingga akhirat.
“Jangan menunggu sehingga lebih ramai lagi mereka yang tidak menunaikan solat, iaitu simpulan agama terakhir yang dirungkaikan,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS yang dimuatnaik di Facebooknya hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, melalui satu hadis sahih, Rasulullah SAW memberi amaran akan berlakunya penyelewengan daripada ajaran Islam yang sempurna oleh umatnya pada akhir zaman.
Penyelewengan itu sehingga ikatan teguh yang memegang ajaran Islam laksana simpulan tali yang kuat, dirombak dan ditinggalkan, malah Islam yang sempurna kurniaan Allah SWT, dirosakkan dengan merombak ikatannya.
“Ikatan pertama sekali yang dirombak ialah pelaksanaan hukum Islam yang adil oleh pemerintah negara. Ini berlaku apabila kuasa politik Islam yang mentadbirnya dihilangkan, maka kewajipan untuk menegakkan sebuah kerajaan yang melaksanakan hukum Islam juga ditinggalkan oleh umat Islam.
“Ajaran Islam yang ditegakkan dengan perjuangan penuh pengorbanan oleh Rasulullah SAW dan para Rasul AS juga disia-siakan begitu sahaja. Semua itu berakhir dengan kejatuhan kerajaan Islam dan umatnya yang pada akhirnya berada di bawah kuasa penjajahan bukan Islam.
“Hukum syariat Allah SWT yang adil ditinggalkan, lalu digantikan dengan hukum ciptaan manusia yang lemah. Maka, berlakulah gejala keruntuhan aqidah dan akhlak yang merosakkan semua aspek kehidupan manusia. Sehingga menjadikan keadaan semakin parah, apabila diikuti dengan menularnya pelbagai jenayah besar dan kecil,” katanya.
Abdul Hadi berkata, terdapat perkara yang diizinkan Allah SWT untuk manusia menguruskan sendiri khususnya yang menjadi kemampuan akal mereka untuk mencari jalan sendiri melalui ilmu duniawi dan pengalaman, serta kajian dengan bijaksana.
Namun begitu, katanya dalam perkara di luar kemampuan akal manusia, Allah SWT meletakkan sempadan dan tidak mengizinkan mereka mencipta undang-undang sendiri kerana akan merosakkan diri dan kehidupan mereka.
“Dalam ayat ini, Allah SWT menegaskan bahawa kemusnahan diri dan alam berlaku apabila manusia terkeluar daripada landasan petunjuk yang telah ditetapkan oleh Tuhan yang mencipta mereka mengikut fitrah kejadiannya.
“Kini terserlah berlaku kehilangan jati diri manusia daripada fitrahnya, sehingga menyebabkan berlaku kerosakan terhadap diri, institusi keluarga, masyarakat dan negara, serta seluruh aspek kehidupan yang lain.
“Kita menyaksikan berlaku gejala negatif dalam politik, ekonomi dan sosial yang sedang menghancurkan ideologi ciptaan manusia sendiri. Bermula dengan keruntuhan blok Sosialis dan Komunis, serta diikuti blok Liberal Kapitalis,” katanya. – Malaysiapost

