Pembinaan Hospital Medan di Melaka ditangguh – KM Melaka

0
2

KETUA Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, usaha membangunkan sebuah Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jasin terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

Beliau berkata, penangguhan tersebut dilakukan selepas pihak ATM memutuskan menyalurkan aset mereka kepada negeri yang mempunyai kadar jangkitan Covid-19 yang lebih tinggi.

“Seperti sedia maklum, kita telah memohon kepada pihak ATM melalui Kementerian Pertahanan bagi pembinaan hospital medan di Jasin memandangkan kebergantungan kita hanya kepada Hospital Melaka.

“Tetapi dalam mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) negeri semalam, saya difahamkan ATM telahpun mengeluarkan aset-aset mereka ke negeri yang berjangkitan tinggi seperti Selangor,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Mujid Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, hari ini.

Bagaimanapun, Sulaiman berkata, pihaknya akan terus berusaha supaya hospital medan dapat diwujudkan di Melaka dan berharap ia dapat dipertimbangkan kerajaan.

“Kita juga percaya Kementerian Pertahanan akan buat yang terbaik untuk menyediakan hospital medan di negeri ini memandangkan kadar katil unit rawatan rapi (ICU) sudah mencapai 100 peratus,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Hospital Melaka akan menerima 10 lagi katil ICU pada minggu hadapan.

“Begitu juga ventilator dan monitor yang sekarang masih berada di Singapura kerana peralatan ini sedang menunggu pelepasan dari kastam untuk dibawa masuk ke Melaka,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) meluluskan dua lokasi pembangunan Hospital Medan ATM iaitu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor dan di Melaka bagi menyokong kesiapsiagaan fasiliti kesihatan untuk merawat pesakit di negeri masing-masing. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Sulaiman Md Ali

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here