Ebit Lew bantu warga emas hidup dalam kereta bersama kucing

0
1

KEHADIRAN Aidiladha tahun ini, umpama sinar bagi seorang warga emas berusia 75 tahun apabila kesusahan hidupnya mendapat perhatian pendakwah terkenal, Ebit Lew.

Tidak sanggup melihat kedaifan hidup warga emas itu, Ebit membantu mencarikan rumah sewa dan peralatan kelengkapan rumah untuk keselesaan lelaki itu.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Ebit berkata warga emas tersebut telah dua bulan tinggal dalam kereta di bawah jejantas berdekatan Pasar Seni, Kuala Lumpur bersama kucing-kucingnya.

Kata Ebit, lelaki tua itu hidup sebatang kara dan dia tidak sanggup untuk membiarkan warga emas itu menyambut Hari Raya Aidiladha di dalam kereta.

“Nak tak saya sewakan rumah untuk pakcik dan kucing-kucing ni semua. Baik ustaz. Bila tu ustaz. Sekarang kita gerak. Saya nak pakcik hari raya haji dalam rumah selesa.

“Pakcik terus menangis. Kenapa menangis pakcik. Ramai juga bantu. Tak sangka boleh dapat rumah terus. Terus ajak cari peti ais,mesin basuh, dan katil,” tulis Ebit di hantaran itu.

Seperti yang disangka, warga emas tersebut menolak pemberian tersebut kerana malu dan tiada wang untuk membayar kembali pemberian itu.

Namun, pendakwah kesayangan ramai itu berkata, semua pemberian tersebut adalah berkat kerana warga emas terbabit kasih kepada kucing.

“Ini berkat pakcik sayang kucing. Allah bagi rezeki. Kita bertemu. Beri sedikit duit belanja. Dan saya bawa ke Elewsmart beli makanan kucing, pasir kucing, dan sedikit bekalan makanan.

“Semoga pakcik sentiasa sihat dan dimudahkan segala urusan. Semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here