Acara sambutan Hari Keputeraan Sultan Pahang ditangguh

0
1
ydpa agong

SEMUA acara sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak berkata, penangguhan itu bagi menjunjung titah baginda bahawa tiada sebarang acara sempena Hari Keputeraan baginda ke-62.

Bagaimanapun, katanya, majlis kesyukuran dan doa selamat masih boleh dianjurkan secara maya selaras dengan situasi pandemik Covid-19 di Pahang dan Malaysia.

“Baginda turut bertitah agar tiada persembahan ucapan sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan baginda Tuanku yang jatuh pada 30 Julai ini diterbitkan di media cetak dan papan iklan.

“Namun begitu, persembahan ucapan boleh dibuat secara dalam talian di laman web jabatan, syarikat atau mana-mana medium yang tidak membabitkan sebarang kos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selanjutnya, Salehuddin berkata, baginda turut bertitah agar peruntukan bagi penerbitan persembahan ucapan itu sebaiknya disalurkan kepada tabung disediakan kerajaan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here