PENDAKWAH kesayangan ramai Ebit Lew yang terpalit kontroversi dicetuskan penyanyi rap, Caprice, mengalirkan air mata ketika meluahkan rasa hatinya menerusi video di aplikasi TikTok yang dimuat naik semula dalam Instagram, @jentikhati.
Ebit menerusi video berkenaan berkata, dia tidak suka untuk bergaduh dengan sesiapa sekalipun.
“Saya susah nak mengata siapa-siapa. Tapi sejak kebelakangan ini, orang tak berhenti datang. Semua orang nak cari gaduh dengan saya. Semua orang nak cakap bukan-bukan terhadap saya. Saya jadi sedih,” katanya dalam video itu.
Ebit yang dianugerahkan Duta Muhibbah oleh kerajaan Palestin baru-baru memberitahu jika ada yang menghantar mesej bukan-bukan, dia tidak akan membalasnya.
“Saya memang tak takut siapa-siapa sejak kecil. Saya tahu hidup saya Allah tentukan, mati saya juga Allah tentukan.
“Saya tak balas pun orang mesej saya bukan-bukan. Kalau orang ugut, saya tak balas. Kalau setakat berkata, saya tak kisah sangat tapi kalau melibatkan macam-macam orang, yang itu saya jadi sedih,” luahnya lagi.
Di akhir video itu, Ebit mendoakan agar umat manusia hidup dalam suasana dan persekitaran penuh kasih sayang.
“Saya fikir dunia ini tak seindah disangka. Walau kita cuba nak bawa kasih sayang dalam dunia, akan ada yang benci, akan ada yang lawan.
“Saya percaya, kalau tidak hari ini, suatu hari nanti, dunia ini akan kembali seperti zaman dahulu. Zaman Rasulullah. Zaman dulu orang baik-baik.
“Suasana itu akan wujud, manusia saling mengasihi, saling menyayangi dan menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Terdahulu, ramai dikejutkan dengan pendedahan Caprice yang mendakwa Ebit dan pasukannya telah memburukkan imej negara ketika sebulan berada di Gaza, Palestin untuk membantu rakyat negara itu. – Malaysiapost

