AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman menegaskan beliau tidak akan berdiam diri dalam persidangan Parlimen nanti berhubung isu laptop percuma kepada murid kelompok B40.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata ini kerana beliau mahu menuntut jawapan daripada pihak kerajaan memandangkan masih ada murid yang belum menerima peranti tersebut sehingga kini.
Pada masa sama, sesi persekolahan pula terus ditutup sekurang-kurangnya sehingga hujung Ogos ini seperti diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) semalam.
“Sekolah tutup, buka, tutup, buka, tutup… laptop 150,000 yang dijanjikan tak sampai-sampai. Apa susah sangat?
“Our children are suffering because of your incompetence (anak-anak kita menderita kerana ketidakcekapan kamu).
“Jangan nak diamkan saya di Parlimen. Saya akan tuntut jawapan dari kerajaan,” katanya
Awal Jun lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata kementeriannya telah mengagihkan hampir 13,000 peranti termasuk laptop kepada murid sekolah dari kelompok B40.
Radzi berkata, baki serahan dengan sasaran 150,000 laptop akan selesai dibuat pada akhir September 2021.
Agihan peranti itu dibuat menerusi Yayasan Hasanah dan diumumkan ketika Belanjawan 2021 pada November tahun lalu.
Semalam KPM mengumumkan sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos 2021 dan PdP bersemuka dibuka secara berperingkat mulai 1 September. – Malaysiapost

