Jangan terus bergantung kepada pihak yang berkuasa – Zahid

0
1

KEPIMPINAN Umno diingatkan supaya tidak membenarkan parti itu mengorbankan pedomannya hanya kerana ditekan supaya terus bergantung pada pihak yang berkuasa.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak mengalah dan terus memastikan ia kekal di landasan dalam membela nasib rakyat dan negara.

“Umno wajib bertunjangkan kepentingan negara dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahmad Zahid berkata, tanggungjawab yang digalas Umno adalah membabitkan seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama dalam melindungi, mengawasi, membela rakyat serta kemakmuran Malaysia.

“Justeru pemimpin Umno berkewajiban memastikan parti kekal di landasan rakyat dan negara serta membentengi keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Semua amanah itu perlu dipikul oleh seluruh pemimpin Umno dalam apa jua keadaan di setiap masa dan tempat,” katanya.

Menurutnya, tanggungjawab itu perlu dipikul barisan pimpinan Umno yang setia kepada sahsiah perjuangan parti.

“Pemimpin Umno tidak boleh mengalah dan berundur daripada fikrah ini. Dalam keadaan sukar dan genting ketika ini Umno adalah suara denyut nadi rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here