KERAJAAN diingatkan sekali lagi supaya tidak mensia-siakan pengorbanan rakyat yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berulang kali, namun gagal susulan tidak dilaksanakan dengan betul.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata biarpun negara sudah lebih dua bulan menjalani PKP 3.0, Malaysia masih mencatat rekod kes aktif paling tinggi dengan 114,053 pesakit.
Menurutnya, negara juga mencatat rekod tertinggi kluster baharu dikesan semalam iaitu 37 kluster dengan majoriti kluster adalah melibatkan tempat kerja.
“Kematian Covid-19 juga naik ke rekod tertinggi bagi tempoh minggu lepas dengan 748 kes, naik 14.55 peratus dari 653 terkorban pada minggu sebelumnya.
“Lebih 5,028 nyawa telah terkorban sejak PKP 3.0 bermula pada Hari Raya Puasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, ramai berasa sia-sia untuk duduk di rumah lebih dua bulan tapi keadaan menjadi lagi parah dengan timbul persoalan kenapa lama duduk di rumah tetapi kes dan kluster baharu semakin meningkat.
“Jika negara tegas semasa membuat PKP 3.0 (dan juga PKP 2.0), keadaan ini sudah tentu tidak akan berlaku. Ini merupakan satu pengajaran yang amat berat bagi pemerintah.
“Jangan tutup pintu depan tapi buka pintu belakang pula untuk membenarkan Covid-19 membiak dalam tempoh yang sepatutnya sudah lockdown,” katanya. – Malaysiapost

