
SEMUA pengusaha kilang yang mendapat kebenaran beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diingatkan supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sehingga kini masih terdapat banyak kilang dalam kategori penting untuk beroperasi didapati gagal mematuhinya.
Menurutnya, pelbagai alasan tidak munasabah diberikan oleh majikan meskipun SOP pengoperasian kilang telah disediakan.
“Banyak lakukan kesalahan. Walaupun mereka boleh operasi tapi langgar SOP.
Macam-macam alasan mereka bagi seperti tidak tahu pekerja tidak imbas suhu, tidak imbas MySejahtera, walaupun arahan dah dikeluarkan,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian selepas memantau pematuhan SOP menerusi Op Patuh di kilang Ayamas Food Corporation di Klang, hari ini.
Ismail Sabri berkata, dalam pemantauan di kilang berkenaan seramai 85 pekerja didapati gagal mengimbas aplikasi MySejahtera, selain pengurusan kilang gagal menyediakan pengimbas suhu dan tiada cecair nyah kuman untuk pekerja.
Beliau terdahulu turut ke kilang pembuatan logam, CS Yap Industries Sdn Bhd di Klang dan disertai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan terhadap kilang yang gagal mematuhi SOP akan ditentukan oleh pihak polis.
“Walaupun dari segi kebenaran operasi mereka dibenarkan, tapi mereka juga kena patuh pada SOP. Kalau gagal patuh SOP akan dikenakan tindakan juga,” katanya. – Malaysiapost
