SELEPAS tiga tahun, pelawak dan juga penyampai radio, Issey mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak bersama stesen radio Suria FM.
Suria FM dalam kenyataan memaklumkan, kontrak perkhidmatan penyampai segmen Team Pagi Suria (TPS) berakhir pada 31 Julai ini.
Menurut kenyataan itu, Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin mengambil keputusan untuk ke udara buat kali terakhir pada hari ini.
Suria FM menjelaskan, Issey mengambil keputusan tersebut kerana mempunyai perancangan kerjaya sendiri dalam dunia hiburan selain menghabiskan baki cuti tahunannya.
“Suria FM menghormati keputusan Issey yang mempunyai perancangan kerjayanya sendiri dalam dunia hiburan serta mengucapkan terima kasih atas perkhidmatannya selama ini sebagai penyampai di Suria FM.
“Tiada perancangan tentang siapa yang bakal menggantikan Issey buat masa ini dan segmen TPS akan terus kekal ke udara bersama Ajak dan Fizi Ali,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Issey dalam Instagramnya berkata, dia sendiri yang memilih untuk tidak menyambung kontrak di Suria FM dan mengakui amat menyayangi stesen radio tersebut.
“Hari ini hari terakhir saya di Suria. Saya sendiri yang memilih untuk tidak disambungkan kontrak di Suria. Saya sayang Suria.
“Tapi saya buat keputusan ini sebab saya ada perancangan saya sendiri. InshaAllah nanti saya akan umumkan,” katanya.
Issey turut mengakui berasa sedih selepas tiga tahun berkhidmat bersama Suria FM dan menganggap pengalaman itu sebagai suatu kenangan indah dan cukup bermakna.
“Kerjaya saya di Suria FM cukup bermakna. Jaga diri semua. Saya sayang semuanya
“Walaupun sangat berat ini pilihan saya sendiri. Tapi saya akui saya sayangkan Suria dan sampai masa saya terpaksa mengambil keputusan untuk undur diri,” katanya.
Dalam pada itu, netizen termasuk selebrti tanah air turut mengucapkan selamat maju jaya selain menzahirkan penghargaan kerana menghiburkan pendengar setia stesen radio berkenaan.

