PH gesa Peguam Negara dipecat atau meletakkan jawatan

0
1

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini mengulangi pendirian bahawa Peguam Negara perlu dipecat atau meletak jawatan secara terhormat.

Menurut kenyataan bersama itu, Tan Sri Idrus Harun dilihat tidak menjalankan tugas rasminya secara profesional dan berkecuali dalam menegakkan undang-undang termasuk dalam isu memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ia merujuk kepada laporan media yang mengajukan pandangan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong perlu menerima nasihat guaman sendiri melalui badan seperti Majlis Privi (Privy Council).

“Isu ini timbul susulan siri kenyataan umum Peguam Negara termasuk yang terkini berkaitan isu penzahiran sokongan terhadap Perdana Menteri serta kenyataan 25 Jun lalu berhubung kuasa-kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan nasihat Jemaah Menteri yang telah melampaui batas adab kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu.

“Walaupun berdasarkan Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa ‘menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong, Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang’, namun timbul tanda tanya apakah Peguam Negara kini boleh menjalankan fungsi tersebut secara tidak berat sebelah,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden DAP, Lim Guan Eng.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan itu seperti mengingatkan kembali bahawa terdapat kes-kes profil tinggi tertentu yang dipandang enteng.

“Ia seperti kes Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 Mei lalu namun sehingga hari ini tiada arahan pendakwaan dari Peguam Negara.

“Ini memang luar biasa apabila seseorang itu ditahan lebih sebulan yang lalu namun masih belum didakwa, dan semestinya menimbulkan tanda tanya sama ada wujud motivasi lain dengan melengahkan pendakwaan di mahkamah,” katanya. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here