MOT harap vaksinasi pemandu e-hailing, p-hailing dipercepatkan

0
1
Pekerja-pekerja Grab dan Panda Food sedang bekerja dan berehat di hadapan sebuah kompleks membeli belah Kuala Lumpur ketika tinjauan Malaysiapost semalam.

PROSES penjadualan pemberian vaksinasi untuk pemandu teksi dan e-hailing serta penunggang p-hailing telah pun dimulakan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Menurutnya, perkara itu dimulakan setelah Kementerian Pengangkutan (MOT) menerima senarai nama yang diperlukan daripada para pengendali dan syarikat masing-masing sejak pertengahan Jun 2021 lagi.

“Penerima yang layak akan dimaklumkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk jadual vaksinasi mereka.

“Saya berterima kasih kepada pihak CITF atas bantuan mereka berhubung hal ini dan berharap dapat mempercepatkan pemberian vaksinasi untuk kumpulan pertama barisan hadapan ini melibatkan kira-kira 41,488 pemandu teksi dan e-hailing serta 11,527 penunggang p-hailing.

“Senarai tambahan sekitar 57,931 penunggang p-hailing juga telah diserahkan untuk pertimbangan CITF,” katanya di Facebook hari ini.

Kenyataan Ka Siong adalah respon kepada gesaan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh meminta kerajaan melindungi pemandu dan penghantar barang bermotosikal e-Hailing yang terdedah dengan risiko dijangkiti Covid-19.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan CITF untuk mengaturkan pemberian vaksin ini secepat mungkin.

Katanya, MOT mensasarkan seramai 80 peratus pemandu teksi dan e-hailing menerima vaksin menjelang Hari Kebangsaan terutamanya di kawasan yang mencatatkan kes positif tinggi dan membimbangkan seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak.

“MOT akan mengeluarkan siaran media setelah segala butiran terperinci mengenai perkara ini dilengkapkan.

“Secara keseluruhannya, kami berhasrat untuk memberi vaksin kepada kira-kira 40,000 pemandu teksi, 110,000 pemandu e-hailing, dan 154,000 penunggang p-hailing di seluruh negara secepat mungkin,” katanya.

Menyentuh tentang aspek keselamatan dan kesihatan pemandu teksi serta e-hailing, Ka Siong menjelaskan, prosedur operasi standard (SOP) Pengangkutan dan Logistik (dikemaskini 15 Jun 2021) yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah pun menggariskan protokol tertentu seperti mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka bagi pemandu dan penumpang.

“Pemandu juga berhak menghalang penumpang menaiki kenderaan sekiranya bergejala. Digalakkan menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai serta menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum dan selepas menaiki kenderaan.

“Pemandu juga mesti membersihkan atau sanitasi kenderaan mereka setelah menamatkan setiap perjalanan dan selepas menamatkan operasi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here