‘Kes Covid-19 tinggi, tapi kerajaan tamatkan PKPD di Selangor’ – Syed Saddiq

0
1
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata beliau keliru dengan keputusan kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor, hari ini.

Beliau berkata, lebih menghairankan keputusan itu dibuat ketika kes harian Covid-19 mencecah hingga 13,000 kes setiap hari selain Selangor adalah negeri yang mencatatkan kes tinggi.

“Tiba-tiba PKPD Selangor habis? Ini memang saya keliru. Saya ingatkan apabila kes dah cecah 12 ribu, 13 ribu setiap hari, makin ketat kawalan.

“Hari ni sahaja dah 12,541 kes. Selangor sahaja catat 5,512 kes,” katanya di Facebook.

Beliau turut mempersoalkan rasional tindakan kerajaan itu dan menuntut penjelasan mengenai fungsi PKPD yang dilaksanakan dua minggu lalu.

“Jadi kenapa tamatkan PKPD di Selangor? Apa fungsi PKPD 2 minggu lepas? Hanya untuk sekat dan kurung rakyat tanpa sebarang penjelasan sains?

“Kalau ada yang faham rasional di sebalik keputusan kerajaan hari ni, boleh kongsi,” katanya.

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di Selangor berkuatkuasa hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD yang bermula 3 Julai lalu itu ditamatkan dalam mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi semasa dan bersetuju untuk tidak melanjutkan PKPD di 34 mukim terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here