CUEPACS gesa kerajaan fokus semua perjawatan kontrak

0
1
Presiden CUEPECS, Adnan Mat. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

KERAJAAN seharusnya tidak terikat dengan waran perjawatan sedia ada untuk mengisi perjawatan perkhidmatan awam kerana ia boleh disesuaikan mengikut situasi semasa negara.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata setiap tahun rakyat akan bertambah dan bajet negara juga akan meningkat, ia tempoh ujian sebenar adalah sejauh mana kerajaan dapat menjaga kebajikan pekerja dan rakyat.

“Dalam situasi semasa negara ketika ini, kerajaan tidak boleh terlalu berkira dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata, CUEPACS menggesa kerajaan memfokuskan terhadap isu perjawatan membabitkan semua perjawatan kontrak di sektor kerajaan.

Katanya, selain doktor kontrak, terdapat puluhan ribu lagi perjawatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kementerian lain yang masih berstatus kontrak serta menunggu masa untuk perkhidmatan ditamatkan.

“Di KKM sendiri terdapat perjawatan lain yang kritikal dan masih berstatus kontrak seperti jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam, jururawat masyarakat, juru x-ray dan juruteknik makmal perubatan.

“Mereka ini juga berada di sektor yang kritikal serta perlu diberi perhatian yang sama oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan jawatan tambahan untuk doktor juga perlu mengambil kira keperluan penambahan jawatan lain yang memberi sokongan secara berpasukan seperti jururawat, penolong pegawai perubatan dan lain-lain.

“Tanpa sokongan daripada pasukan ini, sudah tentu tidak akan berlaku keseimbangan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan awam.

“CUEPACS berpendapat faktor kos serta kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan sepatutnya tidak menghalang usaha menyerap semua kakitangan ini kepada status tetap kerana ia adalah suatu keperluan pada masa kini dan akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, CUEPACS mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana bersedia mempertimbangkan rayuan bagi menyerap masuk pegawai kesihatan kontrak KKM ke dalam perkhidmatan tetap.

“Pertimbangan ini sedikit sebanyak memberi sinar kepada lebih 23,000 pegawai kesihatan berstatus kontrak ketika ini yang mencurah keringat memberi khidmat kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here