TUJUH individu termasuk tiga wanita direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes seorang buruh dibelasah beramai-ramai di tepi Jalan Pasir Tumboh di Kelantan kelmarin.
Perintah reman sehingga Sabtu itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah, Rusli Ahmad di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini, lapor Kosmo.
Kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 46 tahun tersebut ditahan reman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Semalam, media melaporkan, seorang buruh dibelasah beberapa individu gara-gara tindakan ejek-mengejek dalam pertengkaran yang berlaku di Kubang Kerian, Kota Bahru.
Dalam kejadian jam 5 petang, lelaki berusia 30 tahun sedang berjalan dikatakan baru pulang dari tempat kerjanya sebelum dihampiri kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Pasir Tumboh.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pemandu lelaki yang menaiki kenderaan itu bersama tiga wanita membunyikan hon kerana mendakwa mengenali mangsa lalu berhenti di situ.
“Dari sini berlaku pertengkaran dan ejek-mengejek antara kedua belah pihak dan kenderaan itu juga ditendang oleh mangsa seperti dirakam video yang tular berkenaan.
“Mangsa mendakwa dipukul oleh suspek dan beberapa individu tidak dikenali termasuk seorang wanita menyebabkannya bengkak dan lebam di bahagian muka serta badan,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Kosmo/Zulhanifa Sidek
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/07/14/seorang-buruh-dibelasah-angkara-ejek-mengejek/

