‘Azmin, Mukhriz berpotensi bakal PM masa depan’ – Tun M

0
3
Tun Dr Mahathir Mohamad

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjangkakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Mohamed Ali dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz berpotensi menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang.

Pandangan itu dinyatakan Ahli Parlimen Langkawi ketika menjawab soalan penonton dalam program What’s Going On Malaysia? With Harith Iskandar secara langsung di Youtube malam tadi.

Dr Mahathir berkata, beliau berpendapat terdapat tiga atau empat calon atau mungkin lebih yang berpotensi menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang.

Katanya, beliau tidak percaya dengan memilih hanya seorang kerana calon-calon itu perlu bersaing untuk mendapat jawatan nombor satu dalam kerajaan.

“Ada tiga hingga empat calon dan boleh jadi lebih. Ramai yang melihat saya mesra kepada Azmin, salah satu calonnya. Saya juga rasa ada calon Perdana Menteri yang bukan datang daripada ahli politik terkemuka.

“Mereka berada di luar daripada kumpulan ahli politik dan orang baharu serta dalam kalangan mereka yang tunjuk minat dalam politik dan saya tidak boleh namakan kerana tidak adil buat mereka.

“Ada juga menamakan Mukhriz iaitu anak saya, ada juga. Tapi saya tidak percaya dengan memilih seorang dan mereka kena bersaing untuk mendapat jawatan itu. Apa pun pemimpin Pejuang perlu bekerja keras,” katanya.

Terdahulu, penonton tersebut bertanya kepada Dr Mahathir siapakan calon Perdana Menteri pada masa akan datang jika beliau boleh memilihnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir mengakui beliau tidak mungkin lagi menjadi perdana Menteri buat kali ketiga memandangkan umurnya sudah mencecah 96 tahun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here