263 rakyat Malaysia di Arab Saudi tunai haji tahun ini

0
1

SERAMAI 263 rakyat Malaysia di Arab Saudi mendapat kelulusan untuk menunaikan haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata, ia satu angka yang besar berbanding tahun lalu hanya lapan rakyat Malaysia di negara itu yang dapat menunaikan haji.

Beliau berkata, hal itu sukar untuk dicapai tanpa hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi, di samping rekod peribadi terpuji jemaah haji Malaysia sebelum ini.

“Saya mengumumkan khabar gembira kelulusan permohonan 263 orang (sehingga kini) jemaah haji warganegara Malaysia di Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H.

“Ini adalah angka terbesar yang diluluskan berbanding tahun lalu hanya 8 orang,” katanya dalam hantaran Facebook.

Zulkifli berkata, beliau akan mengadakan sidang video bersama bakal jemaah haji Malaysia di Arab Saudi jam 9 malam ini dan ia boleh ditonton secara langsung di Facebooknya.

“Alhamdulillah, hal ini sukar untuk dicapai tanpa hubungan diplomatik yang amat erat antara Malaysia dan Arab Saudi, disamping peribadi jemaah haji Malaysia yang terkenal dengan sikap berdisiplin dan menunjukkan sikap yang terpuji.

“Insya-Allah saya akan mengadakan sidang video bersama bakal jemaah haji warganegara Malaysia di Arab Saudi pada jam 9 malam esok (ini). Anda boleh tonton siaran langsung di Facebook saya,” katanya.

Beliau berkata, Tabung Haji (TH) akan memberikan kursus secara dalam talian berkaitan ibadah haji kepada semua jemaah itu.

Sebelum ini, Arab Saudi memutuskan ibadat haji musim ini hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang berada di negara itu sahaja berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here