Tolak fahaman politik, percepat pemberian vaksin rakyat Selangor – Noh Omar

0
1

PENGERUSI Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar merayu kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri agar mengenepikan fahaman politik dan bekerjasama untuk membela nasib rakyat negeri itu.

Menurutnya, pemberian vaksin daripada Kerajaan Persekutuan tidak boleh diagihkan sama-rata mengikut negeri, tetapi harus diberikan keutamaan di negeri mempunyai kepadatan penduduk yang ramai seperti Selangor.

“Selangor di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Kerajaan Persekutuan adalah Perikatan Nasional. Bagaimana vaksin mahu diedarkan jika tiada kerjasama daripada kerajaan negeri? Kerajaan negeri pula perlu sediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seberapa banyak di negeri Selangor.

“Sekarang memang sudah ada (PPV) tetap ramai yang masih beratur panjang. Selangor banyak dewan-dewan termasuk dewan Majlis Daerah. Termasuk dewan yang sedia ada.

“Bekerjasama sama dengan pihak berkuasa, pemimpin, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri (ADUN) bagi memastikan rakyat Selangor dapat vaksin seperti yang diharapkan,” katanya dalam sebuah video di laman Facebook.

Noh berkata, sebelum ini teguran yang sama telah dibuat kepada kerajaan negeri bagi mewujudkan lebih banyak PPV sejak Jun lepas.

Katanya, pertambahan lebih banyak PPV akan mengurangkan jumlah rakyat tertumpu di sesebuah PPV dan mampu mengurangkan risiko jangkitan.

“Rayuan Kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Kita dikejutkan dengan berita kes di Selangor mencecah 5000 kes sehari dan berita 200 petugas PPV di IDCC Shah Alam positif Covid.

“Perkara ini saya sudah jangka dan pernah memberi teguran kepada kedua-dua kerajaan supaya ketepikan fahaman politik,” katanya lagi.

Pada hantaran sama, Noh menjelaskan yakin dengan kerajaan Persekutuan sudah bersedia untuk menyalurkan lebih banyak vaksin kepada negeri Selangor.

Justeru, katanya, tanpa kerjasama erat kerajaan negeri maka usaha pemberian vaksin kepada rakyat negeri Selangor secepat mungkin tidak akan berlaku.

“Sekali lagi saya merayu demi rakyat Selangor. Tolong ketepikan fahaman politik. Rakyat Selangor perlukan pembelaan sewajarnya,” katanya.

Semalam, Selangor mencatatkan jangkitan baharu Covid-19 sebanyak 5,263 dan menjadi penyumbang tertinggi kepada jumlah kes baharu virus itu iaitu 11,079 kes. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here