Kerajaan perlu sesuaikan SOP bencana ikut keperluan semasa

0
1
PUTRAJAYA 26 APRIL 2018. Menteri Pertanian dan Sumber Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sidang media selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Pentadbiran Am Pengawasan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin China, Chen Gang di Kementerian Pertanian dan Sumber Asas Tani, Putrajaya. NSTP/ABD RAHIM RAHMAT

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kerajaan perlu menyesuaikan semula prosedur operasi standard (SOP) dalam situasi bencana mengikut kesesuaian tempat dan masa.

Beliau berkata, kakitangan kerajaan terpaksa menjalankan tugas mengikut SOP kerana mereka akan dikenakan tindakan sekiranya tidak mematuhi ketetapan yang dikeluarkan.

“Bila bencana banyak SOP kerajaan kena disesuaikan balik mengikut keperluan setempat dan semasa. Bagi kakitangan kerajaan mereka ikut SOP dan tak berganjak dengan SOP.

“Faham, kalau langgar mereka kena. Orang politik fikir masalah rakyat. Buatlah apa sahaja yang boleh untuk rakyat,” katanya di Facebook.

Ahmad Shabery memberi contoh ketika bencana banjir, di mana mangsa yang berpindah perlu mengisi borang dalam satu buku pendaftaran.

Katanya, disebabkan hanya satu buku disediakan, ia menyebabkan mangsa beratur panjang dan tidak selesa terutama orang tua dan anak kecil.

“Kena tukar SOP. Suruh mereka masuk ambik tempat dulu. Berikan pek makanan yang dipanggil “cooling kit”, ada biskut, megi, makanan yang kanak-kanak suka (jangan anggap semua tunggu nasi dan sardin sahaja).

Beliau berkata, pengalaman mengendalikan bencana termasuk banjir mengejut dan paling besar di Kemaman dan Kuantan pada 2013 melihat banyak SOP perlu diubah mengikut situasi semasa.

Katanya ia termasuklah daripada aspek bantuan tunai, sumbangan makanan serta perkara yang bersesuai dengan keperluan penduduk ketika sesuatu bencana itu berlaku.

Dalam pada itu, beliau berkata, peruntukan RM300,000 yang diberikan kepada Ahli Parlimen untuk program bakul makanan akan dianggap besar oleh rakyat.

“Pengalaman mengendalikan bencana, ia jauh dari mencukupi. Setiap YB kena cari jalan bagaimana menyelesaikan keperluan yang jauh lebih besar dari itu. Saya ucapkan selamat maju jaya dan beroleh sukses hendaknya,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiidn Yassin mengumumkan peruntukan RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas.

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM10 juta bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat melalui bakul makanan ini, katanya, kerajaan mengambil sikap mengenepikan perbezaan politik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here