TMJ mahu seluruh Johor cepat capai imuniti kelompok

0
1

TUNKU Mahkota Johor menitahkan agar program vaksinasi di semua daerah di negeri itu diberi keutamaan supaya imuniti kelompok boleh dicapai secepat mungkin.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga menitahkan agar proses logistik pengedaran vaksin ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dipercepatkan supaya bekalan vaksin sentiasa mencukupi.

“Bilangan lokasi PPV dan pegawai-pegawai perubatan juga patut ditambah bagi meliputi seluruh negeri Johor.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan kerana memberi kerjasama untuk mempercepatkan program vaksinasi di semua daerah di Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Pada masa sama, Tunku Ismail juga gembira terhadap peratusan tinggi rakyat Johor yang telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Sukacita ingin saya maklumkan bahawa 83 peratus Bangsa Johor telah mendaftar untuk menerima vaksin.

“Bagi mereka yang belum, saya ingin menyeru kepada anda untuk mendaftar secepat mungkin. Saya ulangi, jika imuniti kelompok dapat dicapai, maka pemulihan ekonomi Johor dapat bermula.

“Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para barisan hadapan atas khidmat dan pengorbanan anda semua dalam menyelamatkan nyawa rakyat.

“Semoga Allah sentiasa melindungi dan merahmati para barisan hadapan. Allah Peliharakan Sultan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here