Terlalu ramai orang, polis arah Pejabat Parlimen Muar ditutup

0
1

POLIS mengarahkan Pejabat Parlimen Muar ditutup mulai hari ini kerana kehadiran orang yang terlalu ramai, kata Ahli Parlimennya, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi, Syed Saddiq berkata sejak dua hari lalu, beliau dan pasukannya telah bekerja untuk mengagihkan bantuan makanan kepada 5,000 keluarga di Muar.

“Biasanya ada dalam 150+ keluarga datang setiap hari. Tapi sejak dua hari lepas, jumlah keluarga yang datang telah naik tinggi.

“Orang sedang susah, lapar dan sakit. Mereka wajib dibantu. Pejabat saya tak boleh tolak orang yang mahu datang.

“Nak suruh mereka pulang sebab orang ramai, tak sampai hati. Rakyat Parlimen Muar adalah tanggungjawab saya,” katanya.

Syed Saddiq berkata dalam usaha menjaga prosedur operasi standard (SOP) sebelum ini, pihaknya telah mengambil beberapa langkah antaranya menyediakan sistem kupon, khidmat anggota RELA dan memohon kehadiran polis.

“Tapi hakikatnya ramai lagi yang perlukan bantuan makanan segera. Saya tidak boleh dan tak akan sesekali halang rakyat Parlimen Muar untuk datang ke pejabat.

“Tapi hari ni, pihak polis juga datang dan arahkan Pejabat Parlimen ditutup. Orang terlalu ramai.

“Ini bermaksud edaran bantuan makanan akan lebih lambat sampai ke tangan keluarga penerima. Rumah ke rumah memang ada kami buat, tetapi ambil masa,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata pihaknya terpaksa memikirkan cara lain untuk mengedarkan bantuan dengan cepat.

“Realitinya, ramai lagi rakyat Parlimen Muar yang susah, lapar dan sakit. SOP memang dipatuhi, tetapi saya memang tidak boleh kawal jumlah penerima yang datang ke pejabat.

“Kalau mahu kenakan kompaun kepada orang ramai yang datang ke pejabat, saya minta jangan kompaun mereka.

“Kompaun saya tak apa. Pejabat itu di bawah kawal selia saya. Urusan bantuan makanan ini pun urusan saya dan pejabat saya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here