HTAR terima bantuan ATM urus mayat Covid-19

0
1
Jenazah covid-19 dibawa oleh skuad pengurusan jenazah covid-19 Malaysia dengan sebuah van jenazah di Tanah Perkuburan Batu 5 Jalan Ipoh.

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan memberi bantuan aset kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menangani isu lambakan mayat pesakit Covid-19 di hospital berkenaan.

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, isu lambakan mayat pesakit Co­vid-19 di hospital tersebut akan segera diselesaikan dengan bantuan aset dan anggota ATM.

Beliau berkata, kerjasama ATM itu adalah hasil perbincangan antara Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dengan pihak ATM.

“Pihak ATM akan membantu mempercepatkan urusan untuk membawa mayat-mayat tersebut bagi proses pengebumian mengikut agama masing-masing dan aset-aset ATM juga boleh digunakan bagi tujuan ini.

“Hasil bantuan ATM nanti dapat menampung kekurangan pegawai inspektor kanan (IK) di Pejabat Kesihatan Daerah Klang. Sebelum ini, IK yang menguruskan pengebumian jenazah tersebut,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai penularan beberapa video berhubung kea­daan mayat yang banyak di HTAR sehingga terpaksa diletakkan di atas lantai di Jabatan Forensik hospital tersebut.

Tangkap layar rakaman video yang memaparkan mayat pesakit Covid-19 terpaksa diletakkan di atas lantai di HTAR.

Zulkarnain memberitahu, mayat-mayat tersebut kesemua telah diketahui keputusannya iaitu positif Covid-19, namun beliau enggan menyatakan jumlah sebenar jenazah pesakit koronavirus yang berada di HTAR ketika ini.

Katanya, prosedur meletakkan tagging pada si mati terutama nama mereka dan butiran lain telah dilakukan dengan cukup teliti bagi memudahkan urusan pengebumian.

“Ketika ini, kesemua mayat tersebut telah diletakkan di dalam kontena sejuk (beku) de­ngan suhu negatif 11 darjah Celcius bagi mengelakkan berlaku pereputan mayat,” katanya.

Beliau berkata, masalah yang berlaku sebelum ini juga adalah disebabkan pihaknya tidak mempunyai peti simpanan mayat yang mencukupi, namun isu tersebut telah berjaya diselesaikan dan keadaan kini terka­wal.

“Secara keseluruhan, kami te­lah mempunyai tiga buah kontena di HTAR dan jumlah itu mencukupi.

“Dua kontena itu adalah hasil pemberian kerajaan daripada lapan kontena yang diagihkan di seluruh negeri ini, manakala satu lagi adalah sumbangan yang di­terima sebelum ini,” katanya.

Zulkarnain menjelaskan, kes kematian akibat jangkitan Co­vid-19 yang tinggi di hospital itu disebabkan kebanyakan pesakit yang dirawat terdiri daripada mereka dalam kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen.

“Mungkin mereka datang lambat untuk rawatan yang menyebabkan kebarangkalian untuk sembuh agak tipis.

“Justeru, kita berharap orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan selalu mencuci tangan serta tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here