KRISIS ekonomi negara bermula apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu berbelanja secara boros, serta menyebabkan kehilangan wang negara sebanyak RM42 bilion, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu berkata keadaan diburukkan lagi apabila munculnya wabak Covid-19 ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya telah mengambil pelbagai langkah memulihkan ekonomi.
“Masalah kita (PH) di Malaysia adalah mewarisi kerajaan yang boros berbelanja dan hilang duit, pinjam RM42 bilion tetapi tak melabur di tempat tertentu, tak tahu di mana duit itu berada, hilang, bukan sikit.
“Apabila kerajaan PH tangani masalah hilang duit, kita usaha dapatkan balik duit itu dan ia mengambil masa, kena perlu bawa dokumen untnk tunjukkan itu duit kita.
“Dia kata dapat dari si polan, si polan… tapi kita kata duit kita, kena ambil masa, jadi kita warisi kerajaan yang hadapi masalah kewangan, tak cukup duit hingga tak boleh tadbir negara dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual secara langsung program Reset Malaysia yang disiarkan secara maya di laman Facebook beliau hari ini.
Dr Mahathir berkata, kerajaan PH pimpinannya telah memperuntukkan RM20 bilion untuk memulihkan ekonomi, namun tiba-tiba muncul wabak Covid-19.
“Ia jadi masalah kerana mudah berjangkit, kalau berdekatan dengan orang sakit, kita akan dijangkiti,” katanya.
Sementara itu Dr Mahathir berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh menambah pendapatan ketika ini dengan menaikkan kadar cukai kepada syarikat yang mendapat keuntungan besar ketika pandemik Covid-19.
Beliau berkata, terdapat tiga golongan yang terkesan akibat Covid-19 iaitu mereka yang kaya raya seperti industri sarung tangan getah, mereka yang tidak rugi apa-apa serta golongan yang jatuh miskin.
“Jadi perlu cara untuk mengimbangkan kesan ini, supaya (syarikat) dapat keuntungan besar patut bantu usaha kita untuk menolong yang rugi terbanyak.
“Misalnya melalui ‘windfall tax’ (cukai durian runtuh), ini bukanlah luar biasa, kerajaan boleh naikkan sedikit kadar cukai untuk memperoleh pendapatan yang lebih.
“Ini mungkin boleh bantu kerajaan, waktu Covid-19 ini kita kena belanja banyak wang, nak bantu orang miskin, orang yang tiada makanan, kalau ikut cara biasa, aktiviti kurang, maka cukai kurang,” katanya. – Malaysiapost

