Minta bantuan negara lain tak jatuhkan maruah Malaysia – Najib

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpendapat adalah tidak menjatuhkan maruah Malaysia jika kerajaan meminta minta bantuan negara lain ketika berdepan krisis, terutama pandemik Covid-19.

Beliau berkata, dalam situasi ketika Malaysia berdepan cabaran varian Delta, negara India perlu dicontohi kerana berjaya menangani varian baharu terbabit

Menurutnya, pada Mac hingga April lalu, keadaan Covid-19 di India amat teruk susulan kemunculan varian Delta tetapi berjaya dikawal dalam tempoh masa yang agak pendek.

Katanya, ia dilakukan dengan pelbagai kaedah termasuk ‘lockdown’ amat ketat, namun trend di Malaysia pula tidak reda, malah semakin teruk.

“Sekiranya saya dalam kerajaan, saya akan minta bantuan dari India untuk hantar pakar teknikal, kakitangan perubatan, ubat dan peralatan bagi tempoh sementara.

“Saya akan tanya kenapa India boleh pulih dalam tempoh begitu pendek dan apa yang kita buat salah di Malaysia sehingga semakin teruk serta tanya apa kaedah yang berjaya, cara mengubat paling betul, ubat apa digunakan dan sebagainya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Najib berkata, Malaysia juga boleh meminta bantuan negara-negara lain yang lebih berjaya mengawal Covid-19 tetapi pernah dilanda teruk pada masa dulu seperti Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Saya akan minta bantuan termasuk pengambilan sementara staf kesihatan berpengalaman bagi tempoh seketika sebab negara kita dalam krisis manakala mereka sudah lebih bebas,” katanya.

Beliau berkata, masa dahulu, Malaysia sering membantu negara lain apabila berlaku bencana seperti bantuan kepada China masa gempa bumi besar Sichuan dan kepada Jepun ketika tsunami besar termasuk menghantar pasukan penyelamat.

“Malaysia juga sering menghantar bantuan dari segi barangan atau kepakaran apabila diminta oleh United Nations.

“Jadi, saya tak rasa ia menjatuhkan maruah Malaysia untuk minta bantuan apabila kita dalam krisis. Saya tidak akan ego sebab ini soal hidup mati rakyat serta cabaran bagi masa depan negara.

“Selepas negara pulih, kita bersambung bantu negara lain pula. Saling bantu-membantu juga akan merapatkan hubungan antarabangsa kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here