SKOP siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) perlu diperluaskan bagi memastikan matlamat untuk menjaga kemurnian institusi Islam itu tercapai.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya berpandangan terdapat beberapa perubahan skop yang boleh ditambah baik dan dipinda dalam RCI berkenaan.
Menurutnya, paling utama adalah skop siasatan RCI perlu mengambil kira Pelan Pemulihan TH yang telah dimulakan pada zaman Pakatan Harapan (PH).
“Pandangan Pemuda Umno ini berdasarkan beberapa perkara iaitu kelemahan Pelan Pemulihan ini telah ditegur oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Tahunan TH 2019, namun tiada penambahbaikan ke atas teguran tersebut hingga kini.
“Siasatan RCI akan juga merangkumi keabsahan jaminan ke atas hutang RM27.56 bilion Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) kepada TH.
“RCI juga perlu menelusuri kemampuan UJSB yang perlu membayar RM27.56 bilion kepada TH sebelum tahun 2027,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan ke atas Pelan Pemulihan TH itu juga akan membolehkan RCI dapat menyiasat dengan tuntas kemampuan sebenar kewangan TH pada hari ini dan membolehkan Suruhanjaya memberikan cadangan penambahbaikan.
“Pemuda Umno amat berharap cadangan pindaan skop RCI ini akan dipenuhi oleh kerajaan semasa.
“Siasatan ini perlulah menyeluruh bagi memastikan tujuan murni penubuhan RCI untuk memelihara kemurnian institusi TH akan tercapai,” katanya. – Malaysiapost

