Imam, bilal, AJK mula divaksinasi

0
1

IMAM, bilal dan ahli jawatankuasa masjid serta surau di Wilayah Persekutuan sudah mula divaksinasi dalam usaha mempercepat pembukaan masjid dan surau dengan kapasiti lebih ramai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata usaha itu dilaksanakan melalui Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Melalui JAWI, imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid dan surau di Wilayah Persekutuan telah mula menerima vaksinasi.

“Alhamdulillah, semoga usaha ini membantu untuk mempercepatkan pembentukan imuniti kelompok seterusnya pembukaan masjid dan surau dengan kapasiti lebih luas di masa akan datang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Minggu lalu, JAWI mengumumkan solat Jumaat dan fardu dibenarkan di semua surau serta masjid di Wilayah Persekutuan, mulai 9 Julai lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, solat Aidiladha juga dibenarkan meskipun Wilayah Persekutuan masih dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, kebenaran itu setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan pelaksanaan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.

Bagi masjid di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 300 jemaah dibenarkan menunaikan solat sunat Aidiladha dan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan.

Manakala, 100 jemaah dibenarkan di lapan masjid pusat zon, iaitu Masjid Al-Imam Al- Ghazali di Bandar Manjalara, Kepong; Masjid Salahuddin Al-Ayyubi (Taman Melati, Setapak); Masjid Al-Imam Ash-Shafie (Jalan Perkasa, Maluri); Masjid Usamah Bin Zaid (Wangsa Maju); Masjid Al-Muqarrabin (Bandar Tasik Selatan); Masjid Ar-Rahman (Jalan Pantau Baru); Masjid Mahmoodiah (Putrajaya) dan Masjid Jamek An-Nur di Labuan.

Sementara itu, beliau berkata, bagi masjid kariah dan surau Jumaat dibenarkan seramai 50 jemaah, manakala surau diberi kebenaran khas untuk solat Jumaat dibenarkan seramai 40 orang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here