Saringan meningkat punca kes lonjak lima angka

0
1
Dianggarkan seramai 2000 pesakit positif Covid-19 hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati Shah Alam hari ini.

PENINGKATAN kes harian baharu positif Covid-19 ketika ini adalah sejajar dengan peningkatan ujian saringan yang dijalankan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, hari ini Malaysia merekodkan jumlah harian Covid-19 tertinggi sepanjang pandemik melanda dengan nilai lima angka iaitu melebihi 11,000 kes dan ia berpunca daripada saringan bersasar.

“Bermula daripada 6 Julai hingga 12 Julai lalu, sebanyak 825,373 ujian telah dijalankan (termasuk RT-PCR & RTK-Ag).

“Perbezaan ketara dapat dilihat di mana jumlah ujian pada minggu sebelumnya (29 Jun hingga 5 Julai 2021) iaitu 624,645 ujian (peningkatan sebanyak 32 peratus),” jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, jumlah ujian harian tertinggi dalam tempoh dua minggu juga telah dilaporkan semalam dengan penggunaan ujian RTK-Ag meningkat 56.4 peratus dari ujian keseluruhan harian.

“Ini adalah kerana beberapa negeri yang mempunyai kadar positiviti kes Covid-19 melebihi 10 peratus bagi tempoh tujuh hari berturut-turut telah dibenarkan untuk menjalankan ujian RTK-Ag sebagai ujian pengesahan kes.

“Selangor adalah penyumbang utama peningkatan ujian RTK-Ag dijalankan iaitu sebanyak 44.5 peratus diikuti Kuala Lumpur (9.8 peratus) dan Johor (6.2 peratus),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 30,343 ujian RT-PCR dilakukan oleh makmal swasta sama ada saringan dibuat oleh Pengamal Perubatan Swasta (GP) ataupun penyumberluaran ujian ke makmal-makmal swasta oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mempercepatkan proses serta meningkatkan kapasiti makmal sedia ada.

Katanya, makmal-makmal swasta itu juga menyumbangkan peratus terbesar dalam ujian RTK-Ag iaitu sebanyak 52,115 ujian (76.8 peratus).

“Kemungkinan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat telah meningkat susulan beberapa kali diseru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani ujian bagi mereka yang bergejala atau merupakan kontak rapat.

“Selaras dengan perkembangan terkini ini, masyarakat dinasihatkan untuk terus melaksanakan tindakan-tindakan kawalan dan pencegahan bagi mengelak dijangkiti Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here