Nurul Huda Abhar
SERAMAI 204 petugas di Pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam disahkan positif Covid-19 berdasarkan keputusan ujian saringan beramai-ramai kepada semua petugas, semalam.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata arahan ujian saringan swab beramai-ramai itu dikeluarkan selepas didapati dua sukarelawan yang betugas di PPV IDCC disahkan positif Covid-19.
“Saya telah arahkan satu ujian saringan Covid-19 beramai-ramai ke atas petugas IDCC sebaik sahaja mendapat laporan mengenai dua sukarelawan yang disahkan positif.
“Petugas di PPV IDCC seramai 453 orang. 88 peratus atau 400 orang telah divaksin manakala 12 peratus lagi belum divaksin.
“204 petugas telah didapati positif. Berdasarkan keputusan ujian saringan, mereka yang didapati positif mempunyai ‘load’ virus yang rendah,” katanya dalam satu sidang media khas, hari ini.
Khairy berkata, susulan itu PPV IDCC akan ditutup sementara untuk hari ini untuk proses sanitasi dan nyah kuman yang akan dijalankan oleh pihak berkaitan.
Terdahulu, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan memaklumkan PPV IDCC akan ditutup hari ini susulan terdapat kes positif COVID-19 yang dikesan dalam kalangan petugas PPV berkenaan.
Penutupan selama sehari itu diambil bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan, selepas memperoleh hasil keputusan ujian Covid-19 malam tadi.
Sebagai langkah berjaga-jaga, CITF juga menyarankan mereka yang hadir untuk vaksinasi di IDCC antara 29 Jun hingga semalam untuk membuat penilaian kendiri dan sekiranya bergejala supaya menjalankan ujian saringan Covid-19. – Malaysiapost
Sumber Foto: Homage

