Langgar SOP bertemu Zahid, Saifuddin mahu Annuar tunjuk bukti

0
1

SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mahu Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa membuktikan gambar pertemuan beliau bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ia berikutan Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkongsi beberapa gambar di Twitter lewat malam tadi, menunjukkan Saifuddin, Ahmad Zahid dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, sedang menikmati hidangan bersama tanpa menjelaskan secara terperinci tarikh serta lokasi restoran berkenaan.

Mengulas isu terbabit Saifuddin berkata, beliau dan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sudah lama mengenali dan mengakui mempunyai banyak koleksi gambar bersama Zahid dan keluarganya.

“Saya bersahabat dengan beliau (Zahid) dah lama, dekat 30 tahun. Banyak koleksi gambar bersama beliau dan keluarganya saya ada.

“Lebih elok minta tukang sebar jelaskan dengan terperinci di mana dia dapat gambar itu. Gambar lama atau baru, elok dia jelaskan. Dia mesti tahu gambar itu dari mana dan bila, baru saya boleh jawab semula,” katanya seperti dilapor FMT.

Bagaimanapun, Annuar dalam catatannya di Twitter dengan sinis mengulas pertemuan ketiga-tiga ahli politik berkenaan.

“Makan sedulang memang sedap…Lebih-lebih lagi kalau dapat ‘dining’ di restoran musim PKP,” katanya.

Semalam, Annuar dikompaun RM2,000 selepas beliau didapati melanggar SOP PKP kerana berkunjung ke kediaman Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Sabtu lalu. – Malaysiapost

Foto Kredit: The Third Force

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here