SEMUA outlet pusat perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi yang terletak dalam pusat membeli-belah serta pasar raya besar kini dibenarkan beroperasi beroperasi sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Ia berkuat kuasa mulai esok selepas dipersetujui oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan.
Sementara itu, beliau berkata pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam melaksanakan 78,975 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara melibatkan seramai 19,477 pegawai dan anggota.
Katanya, ia termasuk pemeriksaan ke atas 2,087 kilang, 16,086 premis perniagaan, 625 tapak pembinaan dan 449 asrama penempatan pekerja.
“Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 17 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

