PENYANYI popular Indonesia, Afgan, 32, mengesahkan dirinya positif Covid-19 sejak beberapa hari lalu dan kini menjalankan kuarantin sendiri di rumahnya.
Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza memaklumkan berita itu menerusi hantaran video di Instagramnya, semalam.
Dia bagaimanapun bersyukur dia tidak mengalami sebarang simptom kronik virus itu dan berusaha menjaga kesihatan diri.
“Jadi ternyata saya dijangkiti Covid. Ini hari keempat saya, sekarang dan setakat ini tidak mengalami gejala apa pun,” katanya.
Penyanyi ‘Terima Kasih Cinta’ itu percaya dirinya masih mampu melawan jangkitan itu kerana sudah divaksinasi.
Dia turut menyeru orang ramai agar segera mendapatkan vaksin juga.
“Mungkin kerana saya sudah divaksin, jadi semuanya, tolong dapatkan vaksin anda. Kerana jikalau kamu diserang virus itu, ia tidak akan seburuk itu (simptom),” katanya.
Dalam pada itu, Afgan tetap melakukan senaman di rumah untuk tetap aktif. Namun ujarnya dia cuma melakukan aktiviti yang ringan saja.
“Jadi, beginilah cara saya tetap aktif selama kuarantin, hanya cuba melakukannya secara ringan dan mudah. Buat anda yang kena Covid-19 tanpa gejala seperti saya, kalau mahu sedikit senaman lakukanlah dengan ringan.
“Kita hanya mahu endorphin itu terus bekerja, pasti tidak akan buat kamu lelah,” katanya.
Hantaran berkenaan mendapat perhatian peminat dan pengikut media sosialnya termasuk di kalangan selebriti tempatan yang mendoakan agar penyanyi itu segera sembuh. – Malaysiapost
Foto Kredit: IG/@afgan__

