Sultan Selangor sedih terpaksa hadkan jemaah di masjid

0
1

SULTAN Selangor menzahirkan rasa sedih dan kecewa kerana terpaksa mengehadkan bilangan jemaah masjid, namun baginda tidak pernah mengarahkan penutupan masjid.

Menurut kenyataan Istana Alam Shah hari ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memahami luahan hati rakyat dan rayuan umat Islam yang menggesa agar masjid-masjid di Selangor kembali berfungsi sepenuhnya seperti sediakala.

“Di sini, baginda menzahirkan rasa dukacita terhadap dua perkara susulan daripada penularan wabak berbahaya Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu.

“Pertama, baginda sedih dan kecewa kerana terpaksa memutuskan untuk terus mengehadkan fungsi masjid-masjid dan surau di seluruh Negeri Selangor.

“Kedua, baginda sedih dan dukacita apabila melihat peningkatan angka-angka kematian akibat wabak Covid-19 di seluruh pelusuk Negeri Selangor,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Sultan Selangor menegaskan masjid di Selangor tidak pernah ditutup.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk baginda menitahkan agar masjid-masjid mengehadkan kehadiran jemaah untuk menunaikan solat-solat Fardhu dan Solat Jumaat.

“Keputusan ini diambil setelah meneliti dan memantau dengan terperinci data dan statistik penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di Negeri Selangor,” katanya.

Sehingga 9 Julai 2021, Selangor merekodkan sejumlah 1,933 kematian (28 kematian pada 9 Julai 2021 sahaja), dengan 4,400 kes jangkitan harian baharu.

Menurut kenyataan itu, apa yang lebih membimbangkan baginda, adalah data pada akhir Jun 2021, menunjukkan kematian di kalangan bangsa Melayu di Selangor mencecah 855 orang, iaitu lebih daripada separuh daripada jumlah 1,571 kematian ketika itu.

“Beberapa minggu sebelum bulan Ramadan lalu misalnya, apabila kelonggaran diberikan untuk aktiviti ibadat dilakukan di masjid-masjid, kadar jangkitan terus merebak sehingga mewujudkan beberapa kluster baharu di masjid dan surau di Negeri Selangor.

“Justeru, baginda kesal kerana meskipun pelaksanaan pematuhan SOP dikawal dan diperketat di masjid-masjid, namun penularan wabak berbahaya ini terus mengganas,” menurut kenyataan itu. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Selangor Royal Office

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here