PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa mencontohi tindakan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meletak jawatan secara terhormat selepas didesak melakukannya susulan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali, berkata Ahli Parlimen Pagoh itu yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 oleh Yang di-Pertuan Agong melalui kaedah sokongan blok parti politik dan bukan dikira dari pendirian secara individu Ahli-Ahli Parlimen.
Menurutnya, dengan penarikan sokongan Umno maka jelaslah beliau telah hilang sokongan majoriti di Parlimen dan tiada pilihan selain meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
“Tan Sri Muhyiddin berjiwa besar dan bersifat negarawan, maka berundur secara terhormat bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengambil tindakan selanjutnya untuk menamatkan krisis politik, krisis Perlembagaan, krisis nilai rakyat dengan berbagai kegelisahan akibat kegagalan kerajaan menangani isu Covid-19 secara berkesan serta ekonomi negara yang terus merundum.
“Beliau patut mengambil iktibar seperti Tun Abdullah Badawi yang meletakkan jawatan secara terhormat apabila didesak sewaktu menjadi PM ke 5 kerana kekalahan teruk BN pada PRU 2008 dan kekecohan budak ‘Tingkat 4’ di PMO (Pejabat Perdana Menteri).
“Jangan lupa, Tan Sri Muhyiddin juga turut mendesak Tun Abdullah Badawi letak jawatan kerana nampak peluang dapat mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri apabila Datuk Seri Najib Razak mengisi jawatan PM ke 6,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ibrahim berkata, gesaan dibuat pihaknya bukan bersifat peribadi dan mengakui tidak mempunyai sebarang isu sejak mula mengenali Muhyiddin pada 1973.
“Secara tegas dan terus terang, gesaan saya ini bukan peribadi tetapi atas prinsip ‘bukan saya tidak sayang kepada Tan Sri Muhyiddin tetapi saya lebih sayang kepada negara dan nasib rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan Putra sebagai parti kuasa ketiga tidak memihak kepada mana mana blok PN atau Pakatan Harapan (PH) atau BN, tetapi berdiri atas prinsip demokrasi berparlimen, Raja Berperlembagaan serta menjunjung undang-undang dan tidak bersifat hipokrit serta bersandiwara. – Malaysiapost

