SEMUA perkhidmatan rawatan pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang ditutup sepenuhnya bermula semalam sebagai persedian menghadapi pengurusan pesakit Covid-19
Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi, berkata antara perkhidmatan terjejas adalah rawatan Kinik Pakar Pesakit Luar di Kompleks Rawatan Harian (ACC) serta perkhidmatan Fisioterapi dan Pemulihan Carakerja di Bangunan Utama.
“Justeru, pesakit yang mempunyai janji temu di Klinik Pakar dinasihatkan supaya tidak hadir ke hospital selepas 9 Julai 2021 sehingga diberitahu kelak.
“Sehubungan itu, beberapa orang pegawal perubatan akan dipertanggungjawabkan untuk memantau dan menyusun semula semua janji temu pesakit di Klink Pakar termasuklah pemberian preskripsi baru bagi pesakit yang telah kahabisan ubat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tarikh dan masa baharu bagi janji temu klinik pakar dan pengambilan ubat di farmasi akan diberikan oleh pihak hospital kepada pesakit melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS).
“Oleh itu, pesakit dinasihatkan supaya peka dengan notifikasi yang diberikan melalui SMS agar tidak tertepas tarikh janji temu dan terputus bekalan ubat-ubatan sepanjang penutupan perkhidmatan ini,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibuka di HTAR Klang bagi menyokong kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di Selangor.
Ismail Sabri, berkata ini seterusnya akan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) menangani situasi pandemik Covid-19 di Selangor, ketika ini.
Beliau berkata, keputusan dibuat selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), meneliti pembentangan daripada KKM mengenai situasi semasa Covid-19 di Selangor.
Katanya, sehingga kini KKM mengesahkan purata kes harian di Selangor dalam tempoh 14 hari kebelakangan menunjukkan trend peningkatan secara mendadak dengan jumlah kluster yang semakin meningkat. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB/DGHisham

