AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyatakan keadaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kini memang sedang tersepit dengan krisis sokongan.
Menurutnya, oleh sebab itu Muhyiddin mengumumkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan yang baharu beberapa jam sebelum mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno awal pagi kelmarin.
“Kenapa sekarang. Kenapa tidak setahun dulu? Lantikan itu bukan untuk selesai masalah rakyat tetapi untuk selesai masalah PM 8 dengan Umno. ‘Scheme of thing’,” katanya dalam kenyataan Facebook, hari ini.
Mohd Puad berkata, berdasarkan pendapat beberapa orang peguam, tarik balik sokongan kepada Perdana Menteri lebih mencederakan berbanding tarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, keputusan MKT Umno menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri adalah tepat kerana ianya sebagai ancaman kepada Muhyiddin dan Tan Sri Annuar Musa yang juga Ahli Parlimen Umno.
“Ini kerana YDP Agong memperkenan lantikan seorang Perdana Menteri bukan sebuah kerajaan. Perdana Menteri kemudiannya akan lantik anggota Kabinetnya.
“Justeru, apabila Perdana Menteri hilang kuasa, maka kerajaannya juga akan runtuh. Itu yang berlaku kepada Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) dan Tun M (Dr Mahathir) bila mereka letak jawatan. Kerajaan turut tumbang.
“Kini ada pihak cuba putar belitkan keputusan MKT. Annuar Musa bocorkan dalam grup Ketua Bahagian rakaman video dan verbatim mesyuarat MKT.
“Tetapi kenapa itu sahaja yang Annuar dan gengnya bocorkan? Juga disebut, ahli parlimen Umno kekal sokong Kerajaan PN hingga Parlimen mula bersidang. Dua minggu sahaja. Kenapa fakta ini Annuar tidak bocorkan? ,” katanya.
Beliau berkata, ungkapan ‘Scheme of thing’ yang pernah disebut Muhyiddin sebelum ini bermaksud cara sesuatu perkara itu diatur termasuk sogokan jawatan dan pangkat.
Beliau juga memetik kenyataan Annuar yang mendakwa ada perkara yang tidak disebut dalam kenyataan media Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mesyuarat MKT.
“Antaranya, jika berlaku sebarang pengundian di Parlimen, maka ahli parlimen Umno boleh guna budi bicara mereka untuk buat keputusan. Namun keputusan parti mesti dijadikan panduan.
“Annuar Musa cukup lama jadi ahli MKT. Tidak semua perkara masuk dalam press release. Lagi pun bukan rahsia ada segelintir ahli parlimen termasuk beliau membantah keputusan parti.
“Mereka boleh teruskan. Tetapi mereka juga mesti sanggup menanggung risiko. Itu mesejnya,” katanya.
Terdahulu dalam sidang media selepas mesyuarat MKT, Ahmad Zahid berkata Umno memutuskan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Muhyiddin serta-merta.
Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dibuat susulan mandat sebulat suara perwakilan Persidangan Agung Umno (PAU) 2020 dan setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi panduan utama digariskan sebagai syarat menyokong kerajaan PN.
Justeru, Umno mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk tempoh terhad. – Malaysiapost

