MALAYSIA merekodkan kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 pada jangkaan mengikut kes seharian seluruh negara semalam pada kadar 1.09, dengan Putrajaya mencatat nilai Rt tertinggi pada 1.28.
Menerusi data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Twitternya malam tadi, kebanyakan negeri dijangka mencatatkan Rt melebihi nilai 1.0 manakala empat negeri mencatat nilai bawah satu.
“Negeri-negeri yang dijangka mencatatkan Rt melebihi 1.0 adalah Perak (nilai Rt 1.18), Kuala Lumpur (nilai Rt 1.16), Selangor (nilai Rt 1.14), Pahang (nilai Rt 1.10), Kedah (nilai Rt 1.08), Sabah dan Pulau Pinang (nilai Rt 1.07), Melaka (nilai Rt 1.06), Terengganu (nilai Rt 1.04) serta Negeri Sembilan (nilai Rt 1.02).
“Negeri yang dijangka mencatatkan nilai bawah satu pula adalah Johor (nilai Rt 0.96), Kelantan (nilai Rt 0.90), Labuan dan Sarawak masing-masing catat nilai Rt 0.86,” katanya.
Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes Covid-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
Semalam, Malaysia mencatat kes harian Covid-19 melebihi angka 8,000 hari ini apabila 8,868 kes baharu direkodkan berbanding 7,097 kelmarin.
Angka itu adalah kedua tertinggi pernah direkodkan di Malaysia sejak wabak Covid-19 melanda negara.
Manakala semalam juga menyaksikan jumlah kematian harian tertinggi direkodkan dalam sehari akibat Covid-19 iaitu 135 kes hari ini.
Ia kes kematian kedua tertinggi yang pernah dicatatkan negara adalah pada 2 Jun lalu iaitu 126 kes. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

