Operasi tebang pokok durian haram lancar.

0
1

OPERASI menebang pokok durian Musang King yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Batu Talam, Raub berjalan lancar dan tiada kekacauan serta provokasi mana-mana pihak.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata keselamatan anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) yang menjalankan tugas juga terjamin.

“Saya sendiri turun ke Raub untuk melihat keadaan sekitar bandar, mahkamah dan kawasan operasi yang berada dalam keadaan baik dan tenteram serta penduduk menjalani kehidupan seperti biasa.

“Dengan kawalan polis di seluruh kawasan ini, keselamatan petugas terjamin dan keadaan tenang serta tenteram,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Mohd Yusri berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan kawalan di seluruh kawasan operasi bagi memastikan keselamatan petugas.

Katanya, kira-kira 60 anggota PGA melakukan pemantauan bersama polis termasuk di dua sekatan jalan raya (SJR) 24 jam di jalan masuk utama ke kawasan operasi berkenaan.

“Kita mengingatkan mana-mana individu supaya tidak cuba menceroboh kawasan berkenaan dan tidak melakukan provokasi,” katanya.

Operasi Pamah bagi memusnahkan pokok durian Musang King di kawasan seluas 101 hektar di Hutan Simpan Batu Talam dimulakan pada 3 Julai sehingga 2 Ogos depan.

Bagaimanapun operasi hari kedua dan ketiga terganggu berikutan provokasi sekumpulan individu dipercayai pekebun sebelum PGA ditempatkan bagi mengawal operasi berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here