SUKAN Olimpik di Tokyo akan berlangsung tanpa penonton di semua vanue dan lokasi sekitar ibu negara Jepun susulan lonjakan jangkitan Covid-19.
Menteri Olimpik Tamayo Marukawa membuat pengumuman itu setelah mengadakan perbincangan dengan pegawai dan penganjur pada Khamis, lapor BBC.
Pelaksanaan darurat di Tokyo akan berlangsung sepanjang temasya sukan itu dalam usaha untuk memerangi coronavirus.
Perdana Menteri Yoshihide Suga memberitahu wartawan bahawa tempoh darurat itu akan berlangsung dari 12 Julai sehingga 22 Ogos.
Sepanjang tempoh itu, bar dan restoran tidak dibenarkan menyajikan alkohol dan mesti ditutup pada jam 8 malam.
Vanue acara sukan di Tokyo dan kawasan lain berhampiran ibu kota tidak akan dibenarkan kehadiran penonton sepanjang temasya itu.
Tetapi stadium di wilayah Fukushima, Miyagi dan Shizuoka akan diizinkan untuk kehadiran penonton sehingga 50 peratus kapasiti dan sehingga 10,000 orang.
Jangkitan Covid-19 meningkat di Tokyo ketika upacara pembukaan pada 23 Julai ini semakin hampir.
Terdapat penentangan yang meluas terhadap Sukan Olimpik di Jepun, dengan tuntutan agar ia ditunda atau dibatalkan.
Namun setelah pertemuan dengan pegawai kerajaan, Presiden Olimpik Tokyo 2020 Seiko Hashimoto mengatakan: “Sangat dikesali bahawa kami menganjurkan temasya dalam format yang sangat terbatas, susulan penyebaran jangkitan koronavirus.
“Saya minta maaf kepada mereka yang membeli tiket dan semua penduduk tempatan.”
Gabenor Tokyo Yuriko Koike berkata penganjuran acara Olimpik tanpa penonton “memilukan hati” bagi mereka yang ingin hadir.
Sukan Olimpik dijadual berlangsung di ibu negara Jepun antara 23 Julai dan 8 Ogos manakala Sukan Paralimpik berlangsung antara 24 Ogos dan 5 September. – Malaysiapost

